DATO' DR. ZURINAH BINTI HASSAN
Zurinah Hassan dilahirkan pada 13 Jun 1949 di di Bakar Bata, Alor Setar, Kedah. Beliau mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Tikam Batu (1956-1960) dan kemudiannya di Sekolah Inggeris Sungai Layar, iaitu melalui Special Malay Class (1961-1963). Zurinah Hassan meneruskan pelajaran peringkat menengah di Sekolah Convent Sungai Petani (1964-1966) dan Sekolah Menengah Sultanah Asma, Alor Setar, Kedah (1967-1970). Selepas tamat pengajian sekolah menengah, beliau melanjutkan pelajaran di Universiti Sains Malaysia (USM), Pulau Pinang pada tahun 1971. Zurinah memperolehi Ijazah Sarjana dari UPM dan Ph.D dari Universiti Malaya.
Zurinah Hassan pernah bertugas sebagai Pegawai Penerangan di Jabatan Penerangan, Kementerian Penerangan Malaysia. Selain itu, Zurinah Hassan juga pernah berkhidmat sebagai Ketua Cawangan Pengurusan Maklumat, Kementerian Penerangan Malaysia. Beliau juga pernah menjadi Karyawan Tamu di institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Universiti Kebangsaan Malaysia pada tahun 1997/1998. Zurinah Hassan juga dilantik sebagai Pakar Perunding dan Felow Penyelidik di Akademi pengajian Melayu, Universiti Malaya sehingga menamatkan perkhidmatannya pada tahn 2011 sehingga 2015.
Beliau telah dianugerahi Bintang Kebesaran Darjah Setia Diraja Kedah pada 2013. Zurinah Hassan ialah Sasterawan Negara Malaysia yang ke-13 dan sasterawan wanita pertama yang dianugerahi gelaran tersebut. Selain itu, beliau menerima Hadiah Penulisan Asia Tenggara (SEA Write Award) pada 2004 dan Hadiah Puisi Sunthorn Phu (Hadiah Puisi Negara ASEAN) pada 2013. Zurinah menulis dalam pelbagai genre dan hingga kini menghasilkan kumpulan puisi, kumpulan cerpen, novel, kajian sastera dan memoir.
Walaupun lebih dikenali sebagai Penyair, Zurinah Hassan juga pernah memenangi Hadiah Sastera Perdana, Hadiah Sastera Utusan, Hadiah Buku Perpustakaan Negara untuk cerpen dan memoir. Karyanya telah diterjemahkan ke beberapa bahasa, misalnya bukunya Menghadap ke Pelabuhan telah diterbitkan dengan terjemahan Bahasa Inggeris, Bahasa Spanish, Bahasa Russia dan Perancis.
Sumber : Klik Web DBP